Ahad, 28 Mac 2010

KEADILAN UNTUK SEMUA

"Pemikiran orang Melayu telah diasak bertubi-tubi oleh bangsanya sendiri dengan retorik klise yang tiada lain hanya untuk menakut-nakutkan mereka. Orang Melayu yang sudah cerdik akan loya dengan ketidakcerdikan pemimpin mereka itu.

Cara sedemikian telah digunakan oleh Datuk Onn untuk menggagalkan gagasan Malayan Union. Takkanlah sampai era globalisasi sekarang ini cara yang sama masih boleh digunakan. Tidak terfikirkah mereka bahawa golongan bukan Melayu sedang mentertawakan kebebalan mereka.

Majoriti orang Melayu telah menerima kenyataan tentang kegagalan UMNO membela nasib Melayu kerana mereka khianat. Mereka buat Dasar Ekonomi Baru (DEB)yang kononnya hendak mempertingkatkan ekonomi orang Melayu. Hasilnya apa? Orang Melayu dapat 19%, orang Cina dapat 40%. Mengapa terjadi demikian? Orang UMNO sendiri yang kata pemimpin mereka rasuah, mengamalkan kronisme, tidak amanah, tiris, dan berbagai-bagai lagi. Akhirnya rakyat tahu kecurangan mereka dan berhenti memberi sokongan kepada UMNO.

Dalam kelemasan itu, Dr. Mahathir kata UMNO busuk hingga ke ususnya. Tuduhan ini berat. Pemimpin UMNO tidak berkata apa-apa pun. Najib memang tidak berani menyanggah kata-kata Mahathir. Dia sudah melihat nahasnya. Kesannya ialah kebencian orang Melayu terhadap UMNO semakin membesar. Keupayaan pemimpin UMNO untuk berfungsi dengan baik dalam hal kepemimpinan dipersoalkan sepanjang masa.

Kini Mahathir kata, "Kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO sebagai pelindung nasib mereka terhakis dan Melayu kini perlu berusaha untuk melindungi diri mereka sendiri. Sebab itu banyak NGO Melayu tumbuh."

Majoriti orang Melayu akan terima kenyataan bahawa UMNO tidak melindungi orang Melayu. Pada masa yang sama, mereka tahu kenyataan yang kedua itu memang pure retoriknya. Banyak benda yang tersirat di dalamnya. Mampukah Melayu berdiri sendiri dengan perolehan 19% DEB itu? Kalau UMNO sudah bankrap dalam hal tolong Melayu, tiada saluran lainkah untuk mereka? Jawapannya ada tetapi disembunyikan oleh Mahathir. Sepatutnya dia kata begini, "Kalau UMNO sudah tiada upaya berbuat demikian, carilah parti lain, sokonglah parti itu." Kalau berani sebut nama parti itu sekali.

Demikianlah bercelarunya pemikiran pemimpin Melayu yang dikuasai emosi bukan kebijaksanaan. Ketika Melayu-Islam di Malaysia beralih arah kepada perjuangan yang berteraskan keadilan Islam dan semakin mendapat dokongan golongan bukan Islam, UMNO menyentak sensitiviti umat Islam dengan melantik firma Yahudi mengendalikan sistem komunikasi secara menyeluruh di Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, mereka mempropagandakan tentang kewujudan golongan yang berani membuat tuntutan yang tidak sepatutnya semata-mata kerana UMNO lemah. Siapa yang berani membuat tuntutan itu tidak disebut. Bentuk tuntutan yang dibuat juga tidak disebut. Teknik dan taktik usang ini masih digunakan sampai ke zaman ICT. Begitu sekali mereka merendah-rendahkan kebolehan berfikir rakyat. Lihatlah kebolehan nombor wahid pemimpin Melayu memfatamorganakan sesuatu yang jauh dari hakiki. Tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menyemai benih kebencian terhadap golongan misteri itu. Persepsinya akan menjadi berbagai-bagai. Di sinilah akan bermulanya syak wasangka terhadap sesuatu. Fenomena ini bahaya untuk masyarakat majmuk di Malaysia. Usahlah bermain api. Majoriti rakyat Malaysia sudah tahu UMNO itu rasis yang tidak tolong bangsanya sendiri dan selepas itu menuduh pihak lain yang buat taik.

Rakyat Malaysia yang benar-benar cintakan keamanan wajib mencampakkan rasis jauh-jauh daripada kehidupan mereka. Mereka tiada pilihan selain daripada bersatu padu secara tulen sebagai bangsa Malaysia. Setiap orang dilayan menurut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia. Hak semua kaum telah dimaktubkan di dalamnya dengan cantik, jelas, dan tersusun. Kita tentang habis-habisan hingga ke titisan darah yang terakhir sekiranya ada sesiapa yang mahu merombak dan menghancurkannya. Kita singkirkan golongan yang dengan sengaja menimbulkan ketakutan dalam diri orang Melayu semata-mata untuk menaikkan sentimen perkauman dan menarik sokongan kepada parti yang sudah berkali-kali mengkhianati bangsanya sendiri.

Apabila negara ini diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam, itu bererti rakyatnya telah dijanjikan kesejahteraan, sesuai dengan maksud Islam itu sendiri. Islam tidak pernah menganiayai sesiapa. Yang selalu menganiaya bangsa sendiri ialah golongan yang berpegang kepada sifat perkauman, sekular, dan materialistik. Kita mesti junjung konsep keadilan dalam Islam. Kita mesti menolak sekularisme yang jauh dari agama. Kita mesti tolak materialisme yang mencambahkan keserakahan, rasuah, kronisme, nepotisme, dan segala macam kemungkaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan