Isnin, 19 April 2010

DATANG MU TIDAK DIUNDANG PERGI MU TIDAK DIHALANG


Kami telah jangkakan beliau keluar parti, sebab itu kami tidak memilihnya sebagai calon".

Ia adalah reaksi spontan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Bendahari PKR Hulu Selangor, Dr Halili Rahmat (gambar) mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyertai UMNO.

"Kami telah menjalankan kaji selidik mengenai latar belakang dan kami dapati beliau bukan seorang calon yang baik. Kenapa bukan calon yang baik? ..saya tidak bercadang mendedahkannya. Sebab itu kenapa kami tidak memilihnya," kata ketua penerangan PKR, Latheefa Koya.

Latheefa berkata, mereka sudah mendengar khabar angin bahawa pakar bedah itu mahu keluar daripada parti itu apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim diumumkan sebagai calon parti bagi pilihan raya kecil ini Selasa lalu.

"Kami tidak terkejut. Jadi kami telah membuat keputusan yang tepat untuk tidak memilih beliau," katanya di Kuala Kubu Baru di sini hari ini.

Dr Halili, anak jati Hulu Yam di sini dan pernah menjadi doktor peribadi kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tetapi sebaliknya kepimpinan parti itu memilih Zaid.

Keputusan Dr Halili itu adalah perkembangan terbaru dalam rentetan tindakan pemimpin bahagian dan wakil rakyat PKR untuk keluar parti itu tahun ini.

Bagaimanapun, Latheefa berkata, tindakan keluar parti itu tidak memberi sebarang kesan kepada PKR dalam menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan